Mohd Fahmi Mohd Yusof


POLIS mengesahkan punca kematian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, semalam selepas disyaki menjadi mangsa dera ibu tirinya di rumah mereka dekat Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru, disebabkan hentakan benda tumpul.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, ketika mangsa dihantar ke hospital, terdapat kesan lebam dan bengkak pada kanan muka, dada, perut serta kedua-dua betis.

“Doktor sudah menjalankan bedah siasat semalam dan punca kematian adalah blunt force trauma to the abdomen (hentakan benda tumpul pada abdomen).

“Suami isteri sudah ditahan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Difahamkan, Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, membenarkan suami isteri berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 2 Januari nanti.

Semalam, NSTP melaporkan mangsa dipercayai pengsan ketika dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, oleh ibu bapanya, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor di wad kecemasan hospital berkenaan.

Mohd Afzanizam berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas doktor yang merawat mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Taman Perling kira-kira 1 pagi semalam.

Berita berkaitan

Budak maut didera ibu tiri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 1:09 PM