ANGGOTA bomba membawa naik mayat lelaki warga Indonesia yang ditemui lemas, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membawa naik mayat lelaki warga Indonesia yang ditemui lemas, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga Indonesia yang terjatuh di Sungai Batu berhampiran Masjid Abu Hurairah, Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam, ditemui lemas, jam 2.56 petang hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Muhamad Hafidz Yaacob berkata, mayat mangsa berusia 20-an itu ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mayat mangsa ditemui terapung pada jarak satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat. Mayat dibawa naik oleh anggota PPDA sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, seramai 34 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi SAR diketuai Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, Khairul Azuwan Ibrahim sebaik operasi dimulakan semula kira-kira jam 9 pagi hari ini.

Muhamad Hafiz memaklumkan operasi turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, selain anggota bomba menyusuri sungai mengunakan kayak sehingga ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi mencari mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, empat lelaki warga Indonesia dipercayai terjatuh ke dalam sungai terbabit.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka selamat, manakala seorang lelaki didapati hilang.

Berita berkaitan

Tiga selamat, seorang hilang selepas jatuh sungai

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 4:47 PM