FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


BEKAS pengawal peribadi dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap bekas isterinya menggunakan tangan, September lalu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrizal Hashim, 39, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes berkenaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 25 September lalu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mahyon menasihatkan tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap wanita berusia 42 tahun, yang ketika kejadian masih lagi isterinya menggunakan tangan di sebuah rumah di Jalan Istana, Kuala Lumpur antara jam 9 pagi dan 2.30 petang, 23 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu,Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi memohon hukuman setimpal, manakala Shahrizal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia ingin berjumpa dengan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 2:33 PM