Mohd Hafizee Mohd Arop

Taiping: Seorang penghantar barang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan menyamar sebagai pegawai polis dan menipu seorang warga emas lelaki membabitkan nilai kerugian RM2,500, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh V Premantharan Pillai, 40, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Dia didakwa menipu R Asubadi@Asupathy, 76, dengan menyamar sebagai pegawai polis dan memberitahu dapat menyelesaikan kes tangkapan cucu mangsa dengan bayaran RM2,500 sehingga mendorong mangsa memasukkan wang ke dalam akaun CIMB Bank bernombor 7054007539.

PENGHANTAR barang menyamar polis dan menipu warga emas.
PENGHANTAR barang menyamar polis dan menipu warga emas.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di CIMB Bank Taiping, kira-kira jam 7.41 malam, 13 Januari 2016.

Premantharan Pillai didakwa mengikut Seksyen 419 kanun keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 12:09 PM