Premantharan Pillai didakwa menyamar sebagai pegawai polis dan menipu seorang wanita membabitkan nilai kerugian RM50,000 pada Mac lalu. FOTO Amran Hamid
Premantharan Pillai didakwa menyamar sebagai pegawai polis dan menipu seorang wanita membabitkan nilai kerugian RM50,000 pada Mac lalu. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi

Jitra: Penghantar barang didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas 12 pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis dan menipu seorang wanita membabitkan nilai kerugian RM50,000 pada Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, V Premantharan Pillai ,38, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Umairah Abd Rahman, 29, di Mesin Deposit Tunai (CDM) CIMB Bank Jitra membabitkan 12 transaksi antara 8.53 malam hingga 9.50 malam pada 5 Mac lalu sebagai balasan membebaskan tahanan orang kena tangkap (OKT) yang tidak wujud.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Juhaisham manakala tertuduh diwakili peguam bela M Mathaven.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM50,000 dan tarikh sebutan semula kes pada 12 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 2:04 PM