Safeek Affendy Razali


RAKAMAN video tular seorang lelaki dipukul anggota polis dikenal pasti membabitkan ‘mat rempit’ yang cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal melawan arus sebelum hampir merempuh pelanggan sebuah restoran di Putrajaya, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, kejadian berlaku pada 1.40 pagi apabila anggota Unit Kereta Peronda (MPV) menerima maklumat berhubung sekumpulan individu sedang menunggang motosikal secara merbahaya.

Menurutnya, kumpulan mat rempit itu dikesan melakukan aktiviti terbabit di kawasan Jambatan Seri Gemilang dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 5, Putrajaya.

“Kereta peronda kemudian mengekori salah sebuah motosikal yang ditunggang dalam keadaan laju dan melawan arus di atas Jambatan Seri Gemilang menghala ke sebuah restoran berhampiran.

“Motosikal itu bagaimanapun terjatuh di lantai restoran berkenaan. Anggota polis peronda kemudian berjaya menahan penunggang dan pembonceng motosikal itu.

“Seorang saksi turut membuat laporan polis memaklumkan motosikal berkenaan hampir merempuh meja makan di restoran itu akibat lari daripada pemeriksaan polis,” katanya.

Menurutnya, anggota polis terbabit bertindak secara spontan memukul penunggang motosikal itu.

“Pihak polis sudah mengambil tindakan mengeluarkan saman ke atas penunggang motosikal terbabit kerana melakukan beberapa kesalahan trafik.

“Antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan tiada nombor plat pada hadapan dan belakang motosikal.

“Pada Selasa lalu, seorang lelaki membuat laporan di Balai Polis Dengkil, Sepang mendakwa dipukul anggota polis berpunca melarikan diri daripada pemeriksaan polis,” katanya.

Menurutnya, siasatan sudah dijalankan terhadap anggota polis terbabit mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Lelaki itu juga yang disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menunggang secara melulu yang boleh membawa kematian kepada orang awam, selain di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan

'Kau samseng mana?' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 7:12 PM