Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membatalkan saman dikemukakan UMNO berhubung tuntutan wang RM116.7 milik parti itu akan didengar pada 11 Februari tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili UMNO ketika ditemui selepas kes disebut semula di depan Hakim, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

“Pada tarikh lalu, hari ini (semalam) sudah ditetapkan untuk mendengar permohonan UMNO supaya PDRM mengemukakan dokumen berhubung sitaan wang RM116.7 juta milik parti.

“Bagaimanapun, mahkamah mahu mendengar permohonan PDRM bagi membatalkan saman kami terlebih dulu. Mahkamah juga menetapkan tarikh yang sama untuk sebutan semula permohonan UMNO mendapatkan dokumen berhubung sitaan itu,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Narkunavathy Sundareson dan Khairul Nizam Mohd Kamal hadir bagi mewakili PDRM dan kerajaan.

HARIHARAN ketika ditemui media, semalam.
HARIHARAN ketika ditemui media, semalam.

Pada 3 Oktober lalu, UMNO melalui pegawai awamnya, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen daripada PDRM iaitu salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan berkenaan, salinan senarai wang dan gambar wang disita, salinan semua gambar disita dan rajah kasar penemuan wang disita.

Pada 21 September lalu, UMNO melalui Abd Rauf memfailkan saman bagi menuntut wang dirampas PDRM itu.

Wang berkenaan disita di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei lalu.

UMNO menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Sakri Arifin, Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK, R Rajagopal, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan sebagai defendan.

Parti itu memohon perintah supaya wang RM116.7 juta dipulangkan kepada mereka selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

UMNO mendakwa pemilik wang disita itu dan menyatakan defendan secara salah mengganggunya dengan menyita secara tidak sah serta merampas dan mengambil alih pemilikan dana terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 9:21 AM