HARIHARAN bersama pengamal media selepas sesi pengurusan kes UMNO di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
HARIHARAN bersama pengamal media selepas sesi pengurusan kes UMNO di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Permohonan UMNO supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan dokumen berhubung sitaan wang RM116.7 juta milik parti itu akan didengar Mahkamah Tinggi pada 4 Disember ini.

Wang berkenaan disita di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei lalu.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh mewakili UMNO ketika ditemui media berkata, permohonan anak guamnya akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Antara dokumen yang diminta ialah salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan, salinan senarai wang yang disita, salinan gambar wang yang disita dan rajah kasar penemuan wang yang disita.

Permohonan penzahiran dokumen itu berhubung saman difailkan UMNO membabitkan tuntutan RM116.7 juta milik parti yang didakwa disita polis.

Hariharan berkata, pihaknya menerima permohonan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman difailkan anak guamnya, dua hari lalu.

Sementara itu, Peguam Persekutuan Mohd Sallehuddin Mohammad Ali ketika dihubungi berkata, kerajaan memfailkan permohonan membatalkan saman itu pada 29 Oktober lalu dengan alasan UMNO tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman terbabit.

Kerajaan juga memohon prosiding kes saman digantung hingga permohonannya untuk membatalkan saman berkenaan diputuskan mahkamah.

Prosiding pengurusan kes saman, semalam dijalankan di kamar Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom.

Pada 21 September lalu, UMNO melalui pegawai awamnya, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh memfailkan saman bagi menuntut wang dirampas PDRM itu.

UMNO menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Sakri Arifin, Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK, R Rajagopal, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan sebagai defendan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 10:17 AM