NOR Hisham bersama Mazlan (kanan) ketika sidang media di Menara DBKL. FOTO Saddam Yusoff
NOR Hisham bersama Mazlan (kanan) ketika sidang media di Menara DBKL. FOTO Saddam Yusoff
Asmah Rusman

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, melalui kelulusan itu, pihak penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula 2 hingga 6 petang.

"Kami menerima permohonan pada 27 November daripada pihak penganjur perhimpunan berkenaan yang bercadang membuat perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember.

"Setelah berbincang dengan lebih mendalam, pihak kami memutuskan agar perhimpunan ICERD diadakan di Jalan Raja sahaja pada tarikh berkenaan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Menara DBKL, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Nor Hisham berkata, keputusan itu dibuat memandangkan perhimpunan berkenaan adalah satu perhimpunan kesyukuran.

"Kami bersetuju dan berharap agar perhimpunan itu diadakan secara aman damai, sejahtera dan memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Saya juga berharap kebenaran ini dapat dilaksanakan dengan baik. Saya percaya PDRM akan memantau perkara ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, susulan itu, Dataran Merdeka dan Jalan Raja akan ditutup bermula Jumaat selain beberapa jalan berhampiran lokasi itu.

Katanya, maklumat terperinci berhubung perhimpunan berkenaan akan diputuskan PDRM dalam satu mesyuarat yang akan diadakan Rabu ini.

Menurutnya, permohonan mengadakan perhimpunan itu dibuat tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dan Persatuan Bekas Anggota Tentera Tidak Berpencen (Daulat).

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini tetap diteruskan, namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan memaklumkan UMNO akan menyertai perhimpunan itu sebagai tanda ‘terima kasih’ terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 7:53 PM