NUHANABILLA menunjukkan gambar Muhamad Khalish Affan yang disahkan menderita kanser darah sejak dua bulan lalu kini menerima rawatan di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa.
NUHANABILLA menunjukkan gambar Muhamad Khalish Affan yang disahkan menderita kanser darah sejak dua bulan lalu kini menerima rawatan di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa.
Muhamaad Razis Ismail


USIANYA baru sahaja mencecah setahun, namun sudah disahkan menderita penyakit kanser darah sejak dua bulan lalu.

Hanya tangisan dapat ditunjukkan Muhamad Khalish Affan Muhd Azhar apabila tidak dapat menahan kesakitan dialaminya.

Ibunya, Nuhanabilla Hazani, 24, yang berasal dari Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh berkata, anak sulungnya disahkan menghidap penyakit itu pada September lalu.

Katanya, pada mulanya, anaknya itu secara tiba-tiba diserang demam berpanjangan dan hilang selera makan.

“Saya kemudian membawanya ke klinik sebelum terus dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh berikutan keadaan demamnya semakin teruk.

“Anak saya kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut dan disahkan menghidap kanser darah selepas doktor mengesan 15 peratus sel kanser di dalam darahnya.

“Sejak 2 Oktober lalu sehingga sekarang, anak saya ditempatkan di wad HUSM untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di HUSM di Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, doktor memaklumkan sel kanser anaknya kini sudah meningkat sehingga 21 peratus berbanding kali pertama dikesan.

Katanya, kesan daripada penyakit itu menyebabkan perut anaknya membuncit, sering demam dan hilang selera makan selain darah sentiasa berkurangan.

“Apabila sakit, anak hanya mampu menangis. Saya hanya mampu memujuk diri supaya terus bersabar dan berdoa.

“Suami, Muhd Khairul Azhar Khalir, 28, bekerja sebagai pemandu bas persiaran dengan pendapatan tidak menentu.

“Keadaan kesihatan suami pun tidak berapa baik apabila baru-baru ini mengalami pening dan muntah berkemungkinan tidak cukup rehat kerana perlu berkerja, menjaga anak dan berulang-alik dari Kota Bharu ke Pasir Puteh.

“Mujurlah saya dapat bantuan kewangan daripada saudara mara dan memperoleh kad kebajikan dari pihak HUSM yang dapat meringankan beban kami sekeluarga yang tidak berkemampuan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak pasti bagaimana untuk menampung kos rawatan selanjutnya selepas ini yang mungkin akan bertambah.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan di akaun Agro Bank 200636200009014

atas nama Nuhanabilla.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 4:08 PM