Ifwan Tun Tuah


KERAJAAN Negeri Sembilan, hari ini, mengumumkan pemberian bantuan pelajaran antara RM500 hingga RM1,000 kepada anak negeri itu yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, bayaran RM500 akan diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat sijil, manakala diploma (RM750) dan ijazah (RM1,000).

“Bantuan ini adalah antara janji Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, diberi keutamaan untuk diluluskan segera kerana ketika ini ramai lepasan sekolah dalam proses melanjutkan pelajaran.

“Mereka yang layak boleh membuat permohonan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan segera,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, Seremban.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, pihaknya membatalkan semua amalan pemberian tender secara rundingan terus berkuat kuasa serta merta dan semua projek selepas ini perlu melalui proses tender terbuka.

Katanya, langkah itu dilaksanakan bagi mengelakkan ketirisan dan memastikan projek kerajaan dilaksanakan kontraktor berkelayakan yang dipilih secara telus.

Selain itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga meluluskan cadangan untuk pemberian bonus atau bayaran khas sempena Aidilfitri kepada penjawat awam di negeri itu namun jumlahnya akan ditetapkan kemudian.

“Kita akan lihat dulu jumlah yang diumumkan Kerajaan Pusat dan mungkin kita akan ikut dan ada juga kemungkinan untuk kita beri lebih,” katanya.

Mengenai saranan Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan negeri di bawah PH memotong gaji EXCO, Aminuddin berkata, cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Sembilan.

“Di negeri ini, gaji EXCO tidak tinggi seperti negeri lain. Kita berada di pertengahan (gaji tidak tinggi dan tidak rendah).

“Kalau dipotong, mungkin secara tidak langsung menjejaskan atau mengehadkan khidmat mereka kepada masyarakat,” katanya.

Aminuddin dalam sidang media sama turut mengumumkan kerajaan negeri tidak akan menaikkan kadar cukai pintu dan cukai tanah bagi tempoh lima tahun selain meluluskan peruntukan RM500,000 bagi aktiviti berkaitan menghidupkan Adat Perpatih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 4:31 PM