KEADAAN bot ekspres yang terbakar di Terminal Bot Ekspres Sibu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN bot ekspres yang terbakar di Terminal Bot Ekspres Sibu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Harun Yahya


PENUMPANG yang berada di Terminal Bot Ekspres Sibu gempar selepas dua bot ekspres di kawasan berkenaan terbakar, hari ini.

Kejadian itu disedari orang awam jam 6.35 pagi apabila melihat api marak pada bot yang diletakkan beberapa meter dari terminal berkenaan sebelum menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.40 pagi sebelum sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebuah bot musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi terbakar pada bahagian enjin.

“Bot yang terbakar diletakkan di kawasan berhampiran terminal itu sejak beberapa hari lalu kerana dalam proses pembaikan kerana mengalami kerosakan enjin

“Bot yang terbakar ditunda ke tengah sungai bagi mengelak kebakaran merebak ke bot lain yang berada berhampiran jeti berkenaan. Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Katanya, pihak bomba berhubung dengan Lembaga Sungai Sungai Sarawak untuk memanggil pemilik bot bagi tujuan siasatan lanjut.

Bot ekspres menjadi antara pengangkutan utama khususnya di kawasan tengah negeri ini bagi orang ramai keluar masuk ke kawasan Kapit, Song dan Kanowit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 2:02 PM