Zuliaty Zulkiffli


“SAYA tak sempat berbuat apa-apa melainkan menarik anak saya yang sedang tidur dalam buaian untuk menyelamatkan diri walaupun ketika itu alang kayu dan zink jatuh bertimpa-timpa.

“Saya gagahkan diri keluar melalui pintu belakang di bahagian dapur rumah bersama anak ketika hujan lebat namun syukur kami berdua selamat,” kata Nurul Fahana Shahidan, 30.

Dalam kejadian 4 petang itu, 10 rumah di Kampung PIDA 4 Deli, Mukim Jeram, Jitra rosak teruk akibat ribut, hari ini.

Kebanyakan rumah mengalami kerosakan apabila sebahagian bumbung diterbangkan angin manakala alang kayu rumah jatuh ke lantai.

Menurut Nurul Fahana, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu selepas menidurkan anaknya, Muhammad Ainol Farhan Mohd Azmi, 23 bulan dalam buaian.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila hujan lebat disertai angin kencang menyebabkan dia pergi ke dapur untuk menadah air dari bahagian bumbung yang bocor.

“Ketika itu saya dengar bunyi bising dan ketika hendak menutup tingkap, tiba-tiba saya nampak daun berterbangan.

“Saya cuba pusing ke belakang dan nampak sebahagian rumah dah cerah apabila bumbung dan alang kayu diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Nurul Fahana berkata, dia terus mengambil anaknya dalam buaian untuk menyelamatkan diri lari keluar ketika itu.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa dan sebahagian barangan musnah dan basah akibat kejadian itu.

“Rumah ini adalah pusaka peninggalan arwah tok wan dan saya tinggal di sini bersama anak dan suami, Mohd Azmi Ajin, 32.

“Namun ketika kejadian suami keluar bekerja dan tinggal kami dua beranak,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, pihaknya sudah menghantar anggota APM ke lokasi untuk membantu kerja pembersihan di kawasan yang dilanda angin kencang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 7:24 PM
ANTARA rumah yang rosak dan bumbungnya diterbangkan angin. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANTARA rumah yang rosak dan bumbungnya diterbangkan angin. FOTO Zuliaty Zulkiffli