ANTARA GRO yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Bersepadu sempena sambutan Deepavali di premis terbabit, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA GRO yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Bersepadu sempena sambutan Deepavali di premis terbabit, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


TEBUK lubang dinding ke premis sebelah. Itu taktik digunakan pusat karaoke di Seri Kembangan, Serdang, yang menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) untuk melarikan diri ketika diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang melakukan serbuan dalam Operasi Cegah Jenayah Bersepadu sempena sambutan Deepavali di premis berkenaan kira-kira 2 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, ketika serbuan dilakukan, GRO sedang leka melayan pelanggan sebelum mereka bertempiaran sebaik menyedari kehadiran pihak polis.

“Ada di antara GRO cuba melarikan diri dengan menggunakan ‘pintu rahsia’ yang digunakan untuk masuk ke premis bersebelahan.

“Namun, tindakan pantas pihak polis yang sudah mengepung pusat karaoke terbabit yang terletak di tingkat dua dan tiga bangunan berkenaan berjaya menghalang mereka daripada meloloskan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

ISMADI (kanan) memeriksa lubang ditebuk pada dinding yang dijadikan sebagai pintu rahsia bagi GRO dan pekerja di sebuah pusat karaoke di Seri Kembangan, Serdang, meloloskan diri ketika serbuan pihak berkuasa. FOTO Ihsan PDRM
ISMADI (kanan) memeriksa lubang ditebuk pada dinding yang dijadikan sebagai pintu rahsia bagi GRO dan pekerja di sebuah pusat karaoke di Seri Kembangan, Serdang, meloloskan diri ketika serbuan pihak berkuasa. FOTO Ihsan PDRM

Ismadi berkata, hasil risikan dilakukan terhadap premis terbabit mendapati pusat karaoke berkenaan dipercayai sudah aktif beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

“Modus operandi pusat karaoke ini adalah menawarkan khidmat GRO kepada pelanggan dengan harga dianggarkan antara RM50 hingga RM100 bagi setiap jam untuk menemani mereka berhibur.

“Sebagai langkah persediaan sekiranya premis itu diserbu pihak berkuasa, mereka menebuk lubang pada dinding untuk dijadikan ‘pintu rahsia’ yang menghubungkan dengan premis bersebelahan.

“Malah, sindiket itu turut menyewa premis sebelah terbabit yang dulunya dijadikan sebagai restoran supaya GRO dan pekerja dapat melarikan diri ketika serbuan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menahan 24 GRO yang terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia berusia lingkungan 20-an dalam operasi terbabit.

“Selain itu, kami turut menahan 11 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an yang dipercayai bekerja di premis berkenaan.

“Mereka yang ditahan dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut. Semua warga asing yang ditahan dalam operasi itu juga akan dirujuk kepada Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 1:15 PM