ANGGOTA bomba membuat pemantauan di sekitar rumah penduduk di Taman Saujana Putra Mira, Kuala Langat yang dinaiki air berikutan ban pecah di Ladang Teh BOH, Bukit Kemandul, petang semalam. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba membuat pemantauan di sekitar rumah penduduk di Taman Saujana Putra Mira, Kuala Langat yang dinaiki air berikutan ban pecah di Ladang Teh BOH, Bukit Kemandul, petang semalam. FOTO ihsan bomba.
Faliq Lajim


PENDUDUK di sekitar Taman Saujana Putra Mira, Kuala Langat, panik apabila rumah mereka dinaiki air berikutan ban pecah di Ladang Teh BOH, Bukit Kemandul, petang semalam.

Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada 5.45 petang.

“Hasil maklumat mendapati, ban yang pecah adalah di lokasi sama dengan kejadian sebelum ini.

“Kejadian itu menyebabkan penduduk Taman Saujana Putra Mira terkesan akibat limpahan air berikutan ban pecah itu.

“Dikhuatiri akan berlaku limpahan air lebih besar sekiranya hujan kembali lebat,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah berada di lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“SSCC akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian itu serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

NSTP difahamkan, satu pusat pemindahan akan dibuka di Dewan Orang Ramai, Dengkil.

Sementara itu, Penolong Pengarah JBPM Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, sembilan pegawai dan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, setibanya di lokasi pihaknya mendapati terdapat tebing pecah di tepi jalan berkenaan yang dipercayai akibat daripada limpahan air dari ladang bersebelahan.

“Kejadian itu menyebabkan kawasan perumahan di situ dinaiki air. Kami membuat pemantauan di tebing dan aliran air di lokasi kejadian bersama penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 12:10 AM