SITI Nurbaya menyiram air di pusara anaknya. FOTO Adnan Ibrahim
SITI Nurbaya menyiram air di pusara anaknya. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


“SELAMA ini, dia tidak pernah pergi jauh, kalau bermain dengan kawan-kawan pun hanya di dalam kawasan perumahan sahaja,” kata Siti Nurbaya Mohd Ali, 40, ibu kepada remaja, Mohd Hafiz Hakimi Mohd Khamil, 13, yang ditemui lemas di Sungai Sembrong Kecil, Kluang, petang semalam.

Dalam kejadian 4.10 petang itu, Mohd Hafiz Hakimi bersama empat rakan sebaya pergi ke lokasi dengan tiga daripada mereka mandi di sungai itu manakala arwah dan seorang lagi rakan, Huzaimi Rosli, 12, hanya duduk di tebing sungai itu.

Malangnya, tiba-tiba tebing berkenaan runtuh menyebabkan arwah dan Huzaimi terjatuh.

Tiga rakan mereka yang mandi di lokasi cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa, namun hanya berjaya menyelamatkan Huzaimi manakala Mohd Hafiz Hakimi hilang dibawa arus deras.

Siti Nurbaya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru dekat sini, hari ini, berkata, tidak menyangka Mohd Hafiz Hakimi pergi ke sungai itu.

Katanya, sebelum kejadian, anak sulung daripada empat beradik itu hanya memaklumkan mahu bermain di sekitar taman perumahan

Wanita itu berkata, dia hanya menyedari kejadian lemas selepas diberitahu jiran yang datang ke rumah.

“Walaupun terkejut kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah yang lebih menyayanginya. Kami menganggap apa yang berlaku sebagai peringatan supaya kita lebih peka dengan pergerakan dan aktiviti anak masing-masing.

“Pada masa sama, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang menemui jasad anak walaupun arwah dihanyutkan sejauh kira-kira 1 kilometer dari tempat dia terjatuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mayat Mohd Hafiz Hakimi ditemui jam 5.20 petang oleh penduduk kampung yang kebetulan memancing di hilir sungai itu.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 2:44 PM