ANGGOTA penguat kuasa DBKL merobohkan gerai tanpa lesen di hadapan Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan DBKL.
ANGGOTA penguat kuasa DBKL merobohkan gerai tanpa lesen di hadapan Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan DBKL.
Nurul Hidayah Bahaudin


LEBIH 20 gerai tanpa lesen di Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur yang sebelum ini dikatakan kebal sejak 15 tahun lalu dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi khas di kawasan terbabit, semalam.

Dalam operasi bermula 3.30 hingga 5.30 petang itu, Jabatan Penguatkuasaan DBKL membuat semakan terhadap gerai di luar kawasan pasar terbabit yang tidak mempunyai lesen berniaga.

Pengarah Penguatkuasa DBKL Azman Mahmood berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kewujudan gerai ‘kebal’ yang beroperasi tanpa lesen di kawasan terbabit sejak 15 tahun lalu.

“Hasil maklumat diterima, kami membuat semakan terhadap semua deretan gerai di luar pasar berkenaan yang dimiliki peniaga tempatan dan didapati semua gerai terbabit tidak mempunyai lesen.

“Kami merobohkan gerai berkenaan dan merampas barang jualan daripada gerai terbabit yang menjual pelbagai barangan seperti sayur-sayuran dan ikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, dalam operasi membabitkan 150 pegawai dan anggota DBKL, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang diketuai Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff, seramai 10 warga asing ditahan.

Beliau berkata, semua warga asing terbabit didapati melakukan kesalahan menjadi pembantu gerai di pasar berkenaan. “Berdasarkan undang-undang, hanya warga tempatan dibenarkan bekerja sebagai pembantu kedai di pasar berkenaan.

“Semua yang ditahan diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Beliau berkata, operasi khas itu dijalankan secara berkala di seluruh pasar borong di seluruh ibu kota.

Katanya, operasi khas itu turut bertujuan untuk membuat semakan lesen penjaja bagi memastikan lesen mereka tidak ‘diali babakan’ kepada warga asing.

“Malah, tindakan meroboh gerai di hadapan pasar ini bagi memastikan tidak berlaku kesesakan jalan raya dan kebersihan kawasan terbabit terjamin.

“Selain itu, ia dapat memastikan hak peniaga yang memiliki lesen sah di pasar terbabit terjamin dan mendapat keuntungan sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 5:10 PM