MOHD Azdi (tenagh) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
MOHD Azdi (tenagh) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


LELAKI didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan membunuh pembantu kedai makan selain mencederakan rakan sekerja mangsa di Ayer Keroh, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Azdi Azmi, 21, terhadap pertuduhan pertama.

Malah, Mohd Azdi juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua.

Kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh Mohammad Shahril Mohd Yusoff, 21, menggunakan sebilah pisau di Medan Selera Ayer Keroh, Taman Muzaffar Syah, antara jam 4 hingga 7 pagi pada 1 Oktober lalu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Shahrul Nizam Zulkafli, 18, menggunakan sebilah pisau dan parang pada waktu, lokasi dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan tiada ikat jamin diberikan kepada tertuduh kerana berdepan dakwaan kes bunuh, selain memohon tarikh sebutan untuk laporan bedah siasat dan laporan lain serta memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Melaka.

Mahkamah kemudian memerintahkan sebutan semula kes pada 13 Disember depan dan kes dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pembantu kedai makan maut, manakala rakannya cedera selepas ditetak dengan pisau pemotong daging oleh seorang lelaki jam 7 pagi.

Mohamad Shahril disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor, manakala Mohamad Shahrul Nizam cedera di kaki dan dirawat di Hospital Melaka.

Berita berkaitan

Berlumuran darah di pintu stesen minyak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 4:26 PM