Siti Rohana Idris


MESKIPUN sudah 42 tahun berlalu, peristiwa terpijak jerangkap samar yang ditanam musuh masih segar dalam ingatan bekas askar wataniah.

Akibat tragedi itu, Ahmad Mahmud, 67, kudung kaki kirinya sehingga paras lutut kerana hancur ketika operasi menjejak pasukan komunis di Hutan Grik, Perak.

Mengimbas kembali kejadian pada tengah hari tahun 1976 itu, Ahmad berkata, dia bersama beberapa rakan dari Unit Rejimen 506 Askar Wataniah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjejaki komunis dalam hutan dan tanpa menyedari kakinya terpijak jerangkap samar.

“Satu letupan yang kuat berlaku dan saya tercampak beberapa meter sebelum menyedari kaki kiri berasa kebas.

“Saya melihat kaki sudah hancur dan darah sudah membasahi seragam. Rakan yang lain terselamat kerana walaupun bergerak dalam kumpulan tapi berjarak beberapa meter,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad berkata, dia terpaksa menahan sakit semalaman sebelum bantuan tiba menggunakan helikopter dan dibawa ke Hospital Ipoh, Perak.

Beliau ditemui dalam majlis ramah mesra bersama anggota cedera semasa operasi dan latihan sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-85 di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa, di sini.

Majlis disempurnakan oleh Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri yang menyampaikan sumbangan kepada 44 anggota yang diraikan.

Muhammad Huzaimi berkata, majlis itu dibuat setiap tahun di seluruh negara bagi meraikan pengorbanan perajurit yang banyak berjasa dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“ATM tidak pernah lupakan jasa anggota tentera yang banyak berkorban untuk keselamatan negara terutama mereka yang gugur di medan perang.

“Kita percaya ada di antara mereka ini (bekas tentera) sudah lama tidak berjumpa antara satu sama lain dan majlis sebegini dapat membuka ruang untuk mereka bertanya khabar,” katanya.

Dalam majlis itu bekas askar juga menerima sedikit sumbangan kewangan dari tabung kebajikan ATM sebagai meringankan beban mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 2:58 PM