JENAZAH enam anggota Bomba Dan Penyelamat diberi penghormatan terakhir selepas disembahyangkan di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam, sebelum dikebumikan di kampung halaman masing-masing. FOTO Bernama

BERNAMA

KELUARGA arwah Yahya Ali, 24, anggota Bomba dan Penyelamat yang terkorban dalam operasi menyelamat remaja di Puchong, Selangor malam tadi, memohon penerbangan ihsan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk membawa pulang jenazahnya ke Sarawak, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii yang dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, belum ada jangkaan masa ketibaan pesawat itu di Lapangan Terbang Sibu.

“Masih menunggu jadual penerbangan kapal terbang TUDM,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Jenazah seterusnya akan dibawa ke kampung halamannya di Kampung Tian, Matu di Bahagian Mukah untuk disemadikan.

Yahya adalah seorang daripada enam anggota Bomba dan Penyelamat yang terkorban dalam operasi menyelamat remaja itu yang dilaporkan tergelincir, ketika memancing di lombong di Puchong malam tadi.

AHLI Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menenangkan Halimah Geronggong, 42, (kiri) dan suaminya, Ali Bengang, 53, ketika menziarahi keluarga Allahyarham Yahya di Kampung Tian Matu, Mukah. FOTO Khalid Latip

Arwah yang masih bujang telah berkhidmat selama empat tahun dan bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.

Tiga lagi rakan setugas mangsa dari balai tersebut yang terkorban dalam kejadian tersebut ialah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, manakala dua lagi mangsa ialah Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam.

Mereka yang juga Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas akibat terbelit tali di dasar lombong akibat pusaran arus deras berpunca daripada hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi oleh Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Shah Alam.

Berita kejadian 9.15 malam itu menarik perhatian ramai netizen di laman sosial Facebook di mana selain berkongsi kesedihan dan doa, mereka menggelarkan enam penyelam berkenaan sebagai wira negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 3:27 PM