Mohd Isa melaungkan kata-kata semangat bersama penduduk setempat ketika berkempen sempena PRK Port Dickson di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Isa melaungkan kata-kata semangat bersama penduduk setempat ketika berkempen sempena PRK Port Dickson di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Khairul Najib Asarulah Khan

JASA Tan Sri Mohd Isa Samad kepada masyarakat Port Dickson menjadi kelebihan kepada calon Bebas itu untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk dalam kalangan ahli UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Mohd Faizal Ramli berkata, jasa yang ditabur bekas Ahli Parlimen Teluk Kemang memang tidak boleh disangkal apatah lagi beliau adalah satu-satunya calon tempatan yang bertanding.

Katanya, hanya pengundi Port Dickson sahaja yang dapat mendalami senario penduduk di daerah itu.

“Saya yakin beliau bukan sahaja akan dapat sokongan Melayu malah kaum Cina dan India atas kebolehan dan kepimpinannya sebelum ini di Negeri Sembilan.

“Tindakan Mohd Isa keluar dari UMNO juga hanya disebabkan parti itu tidak meletakkan calon dan beliau tidak mahu calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menang mudah,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Mohd Faizal bagaimanapun berkata, bagi ahli UMNO, mereka perlu akur dengan ketetapan parti untuk tidak terbabit dalam jentera kempen bagi mana-mana calon yang bertanding walaupun tiada halangan untuk keluar mengundi 13 Oktober nanti.

“Pucuk kepimpinan parti memberi kebebasan bahkan ia hak ahli untuk memilih calon pilihan namun saya yakin mereka akan memberi sokongan terhadap Isa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faizal berkata, tidak menerima sebarang laporan berhubung pembabitan ahli UMNO bahagian ini membantu calon PRK Port Dickson.

“Setakat ini, kita hanya nampak Mohd Najib (anak Mohd Isa) yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Port Dickson dan ia kempen yang dilakukan atas dasar hubungan kekeluargaan.

“Namun tiada aduan yang diterima mengenai perkara itu tetapi jika Lembaga Disiplin UMNO meminta laporan baharu kita akan kemukakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 7:32 PM