MANGSA  cedera di hidung. FOTO Ihsan Polis
MANGSA cedera di hidung. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli

PENIAGA cedera di hidung akibat dipukul dengan topi keledar oleh dua lelaki yang menyamunnya sebelum melarikan beg silang mengandungi wang tunai RM1,100 dan dokumen peribadi di Jitra, kelmarin.

Dalam kejadian 5 petang, mangsa, Ooi Leng Cheng, 58, berhenti rehat di tepi padang berhampiran Sungai Korok, dan sedang menyusun kotak serta kertas terpakai di belakang lori miliknya.

Ketika itu dua lelaki terbabit menghampiri mangsa dan berpura-pura meminta rokok daripadanya sebelum mereka berbual di situ menyebabkan mangsa tidak mengesyaki apa-apa.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mangsa yang berasa tidak sedap hati kemudian mahu beredar dari kawasan itu dan masuk ke dalam lori sebelum telefon bimbitnya berbunyi.

Beliau berkata, ketika mangsa mahu mengangkat telefonnya dan sedang berpaling muka ke arah lain, tiba-tiba dia dipukul di muka dengan topi keledar menyebabkan hidungnya berdarah.

“Suspek kemudian mengambil beg silang di atas kerusi sebelah tempat duduk pemandu dan terus melarikan diri.

“Mangsa yang menetap di Taman Seri Impian di Alor Setar itu memaklumkan dia sempat mengecam nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki suspek, namun hasil semakan polis mendapati ia palsu,” katanya.

Mohd Ismail berkata, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Jitra dan siasatan masih dilakukan berhubung kes itu.

“Mangsa mendakwa pernah beberapa kali berhenti rehat di kawasan lapang itu namun tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini seperti itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 9:13 AM