Suspek kes bunuh kucing di kedai dobi yang menukar penampilan diri (kiri) bertujuan untuk mengelak dikenali.
Suspek kes bunuh kucing di kedai dobi yang menukar penampilan diri (kiri) bertujuan untuk mengelak dikenali.
Fazrik Kamarudin

WALAUPUN dipercayai cuba menukar paras rupa untuk mengelak daripada dikenali, ia tetap gagal untuk menghalang salah seorang suspek ‘pemanggang kucing’ untuk terus bersembunyi.

Buktinya, dia ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, awal pagi semalam di kawasan sekitar Gombak.

Suspek didapati sudah membotakkan kepala dan mencukur bersih mukanya, disyaki untuk mengelak dari dikenali selepas wajahnya tular di media sosial.

Ia dipercayai dilakukan susulan tindakan polis mendedahkan gambar tiga lelaki yang dikehendaki kerana melakukan penganiayaan dan membunuh haiwan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Selain suspek berkenaan, polis turut berjaya menahan seorang lagi lelaki yang didedahkan wajahnya, yang turut dilaporkan ditahan pada awal pagi semalam di kawasan Gombak.

Kedua-dua suspek itu kemudian direman sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan.

Sementara seorang lagi lelaki yang turut berada di lokasi ketika kejadian kejam itu dilakukan masih diburu polis.

Dalam kejadian tengah malam Selasa lalu, dua lelaki didapati melakukan kezaliman dengan meletakkan seekor kucing bunting terbiar dalam mesin pengering pakaian yang sedang berputar.

Perbuatan kejam dua lelaki berkenaan bagaimanapun berjaya dirakam CCTV premis berkenaan dan tular di media sosial.

Bangkai kucing berkenaan ditemui seorang pelanggan pada jam 10.30 pagi ketika ingin menggunakan mesin pengering berkenaan sebelum sebuah pertubuhan membela haiwan bertindak melaporkan kejadian kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 6:13 PM