ANGGOTA bomba yang memadamkan kebakaran ditendang dan dipukul suspek, semalam. FOTO Hazshah Abdul Rahman
ANGGOTA bomba yang memadamkan kebakaran ditendang dan dipukul suspek, semalam. FOTO Hazshah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI yang dipercayai menendang anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran rumah setinggan di Kampung Gelam, Jalan Leila semalam, direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, polis mendapat kebenaran mereman suspek bermula semalam sehingga Rabu ini.

"Lelaki berkenaan berusia 32 tahun dan penduduk kampung berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, suspek disyaki bertindak agresif ke atas mangsa selepas merasa terdesak dan cemas melihat rumah yang didiami keluarganya dijilat api," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam NSTP melaporkan lelaki ditahan selepas menendang dan memukul anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran.

Dalam kejadian itu, anggota bomba berusia 30 tahun yang sedang berusaha memadamkan api tiba-tiba dipukul suspek dan keadaan menjadi kecoh seketika.

Sejurus kemudian, anggota bomba terbabit dengan tenang menyambung tugas sehingga operasi bomba tamat pada jam 4.32 pagi.

Dianggarkan 35 buah rumah musnah dalam kebakaran terbabit.

Berita berkaitan:

Tendang, pukul bomba padam api [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 1:31 PM