KETUA Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip (tengah) menunjukkan barang rampasan dadah jenis Ekstasi dianggarkan bernilai RM1.361 juta ekoran dari penahanan empat beranak berusia 16 hingga 44 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Abong, Muar pada 30 Ogos 2018. FOTO Adi Safri
KETUA Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip (tengah) menunjukkan barang rampasan dadah jenis Ekstasi dianggarkan bernilai RM1.361 juta ekoran dari penahanan empat beranak berusia 16 hingga 44 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Abong, Muar pada 30 Ogos 2018. FOTO Adi Safri
Badrul Kamal Zakaria


POLIS menahan suami isteri dan dua anak mereka serta merampas dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM1.361 juta dalam serbuan di rumah di Taman Permata Indah, Sungai Abong, Muar, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar membuat pemeriksaan di rumah di kawasan terbabit, pada 12.30 pagi.

"Pemeriksaan di rumah terbabit dan kereta jenis Nissan Teana kemudiannya menemui serbuk ekstasi seberat 3.35 kilogram dan 16,060 biji pil ekstasi yang semua dadah ini dianggarkan bernilai RM1.361 juta.

"Berikutan itu kita menahan suami isteri berusia 42 dan 44 tahun serta dua anak mereka yang berusia 16 dan 17 tahun bagi membantu siasatan. Semua suspek kini ditahan reman sehingga 5 September ini bagi membantu siasatan lanjut," katanya pada sidang media di IPD Muar di sini, hari ini.

Zaharudin berkata, selain itu pihak polis turut merampas dua kenderaan iaitu Nissan Teana dan Honda CRV yang dipercayai digunakan suspek yang masing-masing dianggarkan berjumlah RM170,000.

"Semakan rekod mendapati hanya suspek suami isteri terbabit mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati hanya suaminya positif mengambil dadah jenis methamphetamine.

"Pihak polis juga masih melakukan siasatan lanjut berkaitan kes terbabit. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 1:29 PM