Asmah Rusman

IKAN kering atau ikan masin, pekasam, cendol, keropok ikan, udang kering, daging burger dan ayam goreng antara kategori barangan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mendapat reaksi netizen di media sosial.

Rata-rata netizen tidak berpuas hati dan berpendapat barangan itu antara keperluan asas yang menjadi kegemaran dan pilihan rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Nampaknya rakyat miskin bakal terbeban dengan kenaikan harga apabila ikan kering/masin, pekasam, cendol, keropok ikan dan banyak lagi dikenakan cukai SST. Apalah nasib rakyat. Makanan kegemaran seperti daging burger pun dikenakan SST," komen Pemuda Plm di laman Facebook.

“Ikan kering kena SST, lobster untuk orang kaya tidak kena pula. Tapi SST tidak dikenakan pada kita hanya untuk pengeluar. Tunggu dan lihat," kata Eita Yaacob.

Seorang lagi netizen, Zarinah Abu Kassim berkata, dulu barangan asas tidak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekarang ikan kering pula dikenakan cukai SST.

“Lari dari mulut buaya, masuk mulut naga, haa tepuk,” kata Rohayu Nizam.

“Tahukah anda, tempoyak pun kena SST. Aiskrim pun kena SST. Santan dan cincau juga kena SST dan terkejutnya air mineral pun kena," kata Lee SlimShady.

Mengulas mengenai perkara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu melihat semula kategori barangan yang disenarai sebagai keperluan asas bagi kebanyakan rakyat negara ini.

“Bagi sesetengah pihak mungkin barangan itu bukan keperluan asas kepada mereka, namun berbeza dengan segelintir golongan lain bergantung kepada struktur demografi.

“Maksudnya, saya berpendapat mungkin di bandar barangan itu menjadi keperluan asas mereka yang dimakan setiap hari tetapi tidak di kawasan luar bandar yang mempunyai pilihan lain.

“Oleh itu, kerajaan perlu menyemak semula jenis barangan keperluan asas atau harian ini supaya rakyat tidak rasa terbeban dengan pelaksanaan cukai SST,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Mohd Yusof berkata, sekiranya barangan yang disenaraikan itu menjadi keperluan asas untuk sesetengah rakyat maka rakyat pasti akan merungut.

“Kerajaan perlu belajar daripada pentadbiran kerajaan terdahulu yang ditolak kerana salah satunya berpunca daripada kenaikan harga barang kesan pelaksanaan GST.

"Justeru, kerajaan perlu membuka ruang kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan dan cadangan mereka terhadap pelaksanaan cukai SST ini sama ada melalui laman web atau sebagainya," katanya.

Tinjauan NSTP mendapati belum ada kenaikan harga dikenakan bagi barangan itu, namun ada beberapa barangan yang dilihat sudah kehabisan stok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 6:34 PM