Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hashim Ismail (tiga kiri) bersama Haslinda (kiri) mendengar penerangan kontraktor.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hashim Ismail (tiga kiri) bersama Haslinda (kiri) mendengar penerangan kontraktor.

Putrajaya: Sempena cuti sekolah bermula minggu depan, ibu bapa berpeluang membawa anak-anak masing-masing ke FLORIA Diraja Putrajaya 2016 di Presint 4, di sini kerana banyak aktiviti menarik disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB) Haslinda Khalid berkata, selain menyaksikan pameran bunga-bungaan sambil memperoleh pelbagai maklumat mengenai industri bunga tempatan dan antarabangsa bagi pengunjung dewasa, kanak-kanak juga disediakan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.

“Ibu bapa boleh membawa anak mereka menunggang kuda dan memberi makanan pada binatang peliharaan seperti arnab yang dibawa khas untuk menghiburkan kanak-kanak sepanjang melawat FLORIA Diraja Putrajaya.

“Mereka juga boleh merasai pengalaman di Taman Ajaib yang menggunakan teknologi Eropah yang pastinya memberikan pengalaman menakjubkan kepada semua pengunjung sama ada dewasa atau kanak-kanak menerusi Hutan Mistik, Dunia Duyung dan Laman Manisan,” katanya.

Katanya, satu lagi komponen yang dijangka menarik perhatian pengunjung adalah Seni dan Kraf FLORIA khas untuk mereka yang ingin menikmati persembahan seni, menyertai demonstrasi kraftangan serta membawa pulang hasilan kraftangan yang unik dan berkualiti.

Di sudut ini, katanya, terdapat 92 pengusaha kraf yang akan menawarkan pelbagai produk seni dan kraf yang diilhamkan dari tumbuh-tumbuhan, landskap dan alam semula jadi.

Selain itu, Haslinda berkata, FlORIA Putrajaya turut mempamerkan taman luaran berkonsepkan Taman Diraja, Taman Muzika, Taman Pereka, Taman Kucing, Taman Kerajaan dan Korporat, Taman Sekolah dan Universiti dan Tea Party Garden.

“Taman Diraja tahun ini menampilkan kelainan tersendiri apabila kita mempamerkan replika Istana Besar Johor dan Mahkota Johor bagi memperkenalkan warisan dan budaya negeri itu kepada pengunjung terutama yang tidak pernah ke Johor.

“Taman ini berbentuk simetrikal dihiasi dengan permaidani hiasan rekaan bunga menggunakan motif tradisional Bunga Gambir dan Lada Hitam, manakala di bahagian depan Istana Besar akan dibina satu pentas untuk pertunjukan kebudayaan dan kesenian Johor,”katanya.

Haslinda berkata, orang ramai yang berminat mempelajari teknik susun atur dan gubahan landskap sebenar dalam balang kaca (terrarium) untuk dimanfaatkan sebagai satu hobi boleh menyertai Bengkel Terrarium akan diadakan bermula 28 Mei sehingga 3 Jun.

Katanya, selain hidangan 41 gerai makanan di FLORIA Flavours, sebanyak 22 trak makanan juga disediakan dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman kepada pengunjung.

FLORIA Diraja Putrajaya 2016 akan berlangsung selama 27 Mei hingga 4 Jun dari jam 9 pagi hingga 10.30 malam (Isnin hingga Khamis) dan dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).

Harga tiket masuk adalah RM7.50 bagi pemegang MyKad, RM22 (warga asing) manakala kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas (RM3.50) bagi pemegang MyKad serta RM11 (warga asing).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 6:25 AM