Faris Fuad

HASIL pemeriksaan hospital mengesahkan tiada kesan koyak di bahagian kemaluan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang didakwa dirogol di Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, pada 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil soal siasat bersama saksi yang juga ahli keluarga mangsa juga tidak menjurus kepada kejadian rogol.

Bagaimanapun, katanya, kes itu akan terus disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi mendapatkan keadilan membabitkan isu berbangkit.

“Kira-kira pada jam 1.44 tengah hari, 21 Ogos lalu, polis menerima maklumat menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita menyatakan kanak-kanak itu dirogol.

“Bertindak atas maklumat itu, pihak polis pergi ke tempat kejadian dan bertemu dengan ibu mangsa yang ketika itu ada bersama mangsa serta adik mangsa berusia lima tahun.

“Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan dan disahkan tiada kesan koyak pada bahagian kemaluan, malah hasil soal siasat bersama keluarga mangsa juga tidak menjurus ke insiden berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Suhaili Mahad dan Noraini Mohamad Noor masing-masing di talian 010-8313012 dan 011-37031878.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 4:20 PM