DR Noraini Ahmad beramah mesra dengan petugas BN      di sekitar Kampung Batu 7,  Jalan Kebun.
DR Noraini Ahmad beramah mesra dengan petugas BN di sekitar Kampung Batu 7, Jalan Kebun.
Mohd Iskandar Ibrahim dan Nasaruddin Parzi

Shah Alam: Kehadiran pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) menjelang hari akhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menunjukkan parti itu mula berasa tergugat.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, PH bimbang dengan momentum calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, selain gusar dengan kerjasama UMNO-PAS secara terbuka.

“Saya difahamkan hari terakhir kempen PRK Sungai Kandis, ramai pemimpin besar PH akan turun membantu calon mereka seperti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka sebenarnya tergugat dengan calon BN dan pada masa sama bimbang dengan kerjasama UMNO-PAS sebab kita tahu lebih 70 peratus pengundi di Sungai Kandis adalah orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat bekas calon PAS bagi DUN Sungai Kandis pada PRU-14, Mohd Yusof Abdullah di kediamannya di Kampung Jalan Kebun di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 11:33 AM