SEJUMLAH dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lubuk Setul, Langkawi, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
SEJUMLAH dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lubuk Setul, Langkawi, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


PENGUSAHA ternakan ikan sangkar ditahan berikutan penemuan sejumlah dadah jenis heroin dan syabu di rumahnya di Kampung Lubuk Setul, Langkawi, hari ini.

Dalam serbuan jam 1.30 pagi itu, polis menemui 12 peket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 320 gram (g) dan satu peket dadah syabu seberat 0.5 g.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek, 30-an, dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sekitar pulau berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awam, anggota polis melancarkan Ops Tapis dan menyerbu rumah milik suspek, awal pagi tadi.

“Pemeriksaan di salah sebuah bilik menemui beberapa peket mengandungi dadah jenis heroin dan syabu menyebabkan suspek ditahan untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:56 PM