SUSPEK ditahan polis serta dibantu orang awam selepas dipercayai merogol beberapa mangsa.
SUSPEK ditahan polis serta dibantu orang awam selepas dipercayai merogol beberapa mangsa.
Shamsul Munir Safini

Bukit Mertajam: Menyamar sebagai wanita di laman aplikasi sosial WeChat, seorang lelaki berusia 37 tahun mengumpan beberapa gadis bawah umur sebelum mencabul dan merogol mereka di kedai kosong sebuah pusat beli-belah di Prai sejak Disember tahun lalu.

Difahamkan, lelaki gila seks itu memalsukan maklumat diri sebagai seorang wanita sebelum mengumpan mangsanya dengan berkongsi teknik membesarkan payu dara.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa kebanyakannya termakan umpan suspek sebelum berkongsi gambar payu dara mereka kepadanya.

Menurutnya, semua mangsa akan berjumpa dengan suspek di pusat beli-belah itu selepas diugut gambar bogel mereka akan ditularkan di media sosial.

Beliau berkata, aktiviti jahat berkenaan bagaimanapun berjaya dikesan polis kelmarin selepas dia cuba merogol seorang lagi mangsa di pusat beli-belah itu.

Katanya, suspek diberkas sebelum mengaku terbabit dalam beberapa kejadian cabul dan rogol.

“Suspek mengaku terbabit dalam tiga kejadian cabul dan rogol sebelum ini namun hanya satu laporan polis dibuat mangsa pada Disember 2017 membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun.

“Berdasarkan laporan itu, mangsa berkongsi gambar payudara dengan suspek kononnya mahu mendapatkan panduan untuk membesarkannya selepas menyangka lelaki berkenaan adalah wanita,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian mengajak mangsa berjumpa di pusat beli-belah di Prai namun pelajar berkenaan enggan sebelum diugut gambar itu akan disebarkan.

Katanya, mangsa yang enggan terpaksa menurut permintaan suspek sebelum dia dirogol di tingkat empat sebuah kedai kosong pusat beli-belah terkenal berkenaan.

“Mangsa yang juga anak tunggal membuat laporan polis sebelum usaha memburu suspek dijalankan.

“Hasilnya, dengan bantuan orang ramai, suspek berjaya diberkas polis semalam (kelmarin) sebaik dia bertemu seorang lagi ‘bakal’ mangsanya di pusat beli-belah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 11:12 AM