KEADAAN pondok tol di Plaza Tol Jitra, Jitra yang dirempuh lori membawa muatan treler, petang semalam. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN pondok tol di Plaza Tol Jitra, Jitra yang dirempuh lori membawa muatan treler, petang semalam. FOTO ihsan pembaca.
Zuliaty Zulkiffli


“BUNYI rempuhan sangat kuat, ketika itu saya nampak pondok tol sudah remuk dirempuh lori, namun tak pasti nasib jurutol di dalamnya.

“Mujur tidak lama kemudian, jurutol keluar dalam keadaan selamat,” kata lelaki hanya mahu dikenali sebagai Johan, 30-an, yang menyaksikan kemalangan di Plaza Tol Jitra, Jitra, petang semalam.

Johan berkata, ketika kemalangan itu, dia berada selang dua rumah tol dan tiada kenderaan lain berada di kawasan berhampiran.

Dalam kejadian 6 petang itu, jurutol, Jamil Ahmad, 52, terselamat dan tidak cedera selepas lori membawa muatan traktor merempuh pondok tol paling kiri tempat dia bertugas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan berpunca apabila muatan lori berkenaan gagal melepasi lorong tol menyebabkan berlaku rempuhan pada pondok tol berkenaan.

“Laporan polis sudah dibuat dan pemandu lori berusia 39 tahun turut tampil membantu siasatan.

“Setakat ini kes disiasat mengikut Peraturan 19 LN 166/59 (muatan jatuh dari atas kenderaan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 9:12 AM