Satu daripada motosikal yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Gerik-Jeli dekat Gerik, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Satu daripada motosikal yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Gerik-Jeli dekat Gerik, hari ini. FOTO ihsan pembaca
D J Dolasoh


DUA penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam dua kejadian berasingan di Jalan Gerik-Jeli dekat Gerik di sini, hari ini.

Kejadian pertama berlaku di Kilometer (KM) 13 jalan itu pada 11.30 pagi membabitkan mangsa yang menunggang motosikal BMW GS seorang diri dari Gerik ke Jeli, Kelantan.

Mangsa dikenal pasti sebagai Amran Shuib, 50, beralamat di Nombor 4, Tingkat Siakap 1, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum terperosok ke dalam parit manakala mangsa tercampak ke dalam longkang.

Mangsa yang parah di kepala, patah tangan dan kaki kiri dibawa ke Hospital Gerik (HG), bagaimanapun meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di hospital itu.

“Kemalangan berlaku selepas mangsa gagal mengawal motosikalnya,”katanya ketika dihubungi.

Menurut Ismail, seorang lagi penunggang motosikal berkuasa tinggi yang maut dikenal pasti sebagai Shahrim Saad, 50, berasal dari Simpang Empat, Permatang Buloh, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Mangsa menunggang motosikal dari Gerik ke Jeli dan dibonceng oleh anaknya, Muhammad Irfan Farihin, 24 .

Kejadian berlaku pada 11.30 pagi di KM 20 jalan itu ketika mangsa yang menunggang motosikal BMW F800R ke Kelantan secara konvoi, sebelum terbabas sendiri.

"Mangsa parah di kepala selepas terlanggar penghadang besi di tepi kiri jalan, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya parah dan dibawa ke Hospital Taiping untuk dirawat," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 9:03 PM