DATIN Seri Rosmah Mansor ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
DATIN Seri Rosmah Mansor ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Murni Wan Omar


PEJABAT Peguam Negara akan mengemukakan permohonan menjadi pencelah dalam kes saman syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor yang menuntut 44 barang kemas dipulangkan semula atau membayar ganti rugi RM59.8 juta (AS$14.8 juta).

Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy berkata demikian ketika ditemui selepas kes itu disebut semula di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Siti Faraziana Zainuddin.

Menurutnya, mereka mengemukakan permohonan itu atas alasan barang kemas itu adalah milik kerajaan dan dibeli menggunakan wang yang dicuri.

Beliau turut memaklumkan bahawa mahkamah memerintahkan Rosmah memfailkan pernyataan pembelaan pada 23 Julai ini dan menetapkan 27 Julai ini untuk pengurusan kes.

Pada 26 Jun lalu, Global Royalty Trading Sal selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Rosmah sebagai defendan.

Plaintif adalah pemborong barang kemas terkenal antarabangsa yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan dari seluruh dunia.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Rosmah didakwa sebagai pelanggan tetap kepada plaintif dalam keadaan tertentu defendan ada meminjam beberapa barang kemas dan memulangkan semula.

Pada 10 Februari lalu, melalui serahan tangan, jurujual/agen Samer Halimeh dan Maen Shakhshir menyerahkan sebanyak 44 barang kemas kepada defendan.

Antara barang kemas termahal adalah sebentuk cincin berlian 16.50 karat berharga AS$925,000 (RM3.7 juta).

Defendan ada mengesahkan dan mengakui penerimaan barang itu melalui surat bertarikh 22 Mei 2018.

Plaintif mendakwa, defendan juga mengesahkan secara bertulis bahawa barang itu tidak lagi dalam milikannya, tetapi sudah disita oleh pihak berkuasa Malaysia.

Saman difailkan melalui Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 12:17 PM