Mohd Anwar Patho Rohman


TIMBALAN Menteri Pertahanan mungkin dilantik dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang akan dipilih sebagai Senator.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata beliau tidak menolak kemungkinan itu memandangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum memutuskan nama calon yang sesuai mengisi jawatan berkenaan.

Sambil mengakui turut tertunggu-tunggu siapakah yang bakal dipilih menjadi timbalannya, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Dr Mahathir dalam membuat keputusan.

“Saya pun tertunggu-tunggu siapakah timbalan saya. Saya serah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya.

“Berkemungkinan juga dia (timbalannya) akan dilantik dalam kalangan Senator sebab masa yang panjang (diambil untuk) menentukannya,” katanya kepada media selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika ini empat kementerian tidak mempunyai timbalan menteri manakala satu kementerian tidak mempunyai menteri.

Kementerian yang tidak mempunyai timbalan menteri ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Luar Negara.

Portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyaksika hanya timbalan menteri mengangkat sumpah iaitu Md Farid Md Rafik tetapi tiada menteri untuk portfolio berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, pertikaian yang wujud daripada komponen PH terhadap Kabinet yang dibentuk kelmarin menandakan semua parti dilayan secara adil oleh Perdana Menteri.

“Kalau wujud bantahan, pertikaian, itu tandanya keadilan (kepada setiap parti),” katanya.

Beliau mengulas tindakan Pemuda DAP yang mempertikai pemilihan calon menteri Kabinet oleh Dr Mahathir yang didakwa tidak munasabah dan tidak menghormati parti komponen PH.

Pilihan calon menteri kabinet Dr Mahathir didakwa ‘tidak munasabah’ dan menunjukkan tidak menghormati parti komponen PH.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 11:10 PM
SULTAN Muhammad V mencemar duli menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM. Turut mengiringi Menteri Pertahanan , Mohamad Sabu (kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. FOTO Mohd Yusni Ariffin
SULTAN Muhammad V mencemar duli menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM. Turut mengiringi Menteri Pertahanan , Mohamad Sabu (kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. FOTO Mohd Yusni Ariffin