DR Mahathir ketika ditemui di kediaman beliau. FOTO Bernama
DR Mahathir ketika ditemui di kediaman beliau. FOTO Bernama
Nadia Hamid; Syarifah Farhana Syed Nokman; Nur Ain Mohamed Radhi dan Siti Nur Mas Erah Amran


KERAJAAN akan menubuhkan satu kabinet kecil dianggotai 10 wakil daripada empat parti komponen Pakatan Harapan (PH), selewat-lewatnya minggu ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika ini, kerajaan sudah menamakan empat menteri yang juga Presiden parti komponen iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Wan Ismail (PKR - Timbalan Perdana Menteri); Tan Sri Muhyiddin Yassin (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) - Menteri Dalam Negeri); Lim Guan Eng (DAP- Menteri Kewangan) dan Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara (AMANAH)- Menteri Pertahanan).

Katanya, kerajaan akan mengambil masa untuk menubuhkan senarai jemaah menteri kabinet lengkap kerana setiap parti perlu merujuk parti masing-masing untuk memberi (senaraikan) nama calon Menteri.

“(Jadi) Kabinet kecil hanya ada 10 orang saja, kita sudah ada tiga dan kita nak tujuh orang lagi. (Jemaah Menteri Kabinet) akan dibuat secepat mungkin dalam minggu ini.

“Kabinet kecil akan bergerak sebagai kabinet sah. Lebih ramai akan dipilih iaitu lebih 25 orang tetapi tidak melebihi 30 orang. Menteri dan Timbalan Menteri akan dipilih daripada campuran parti komponen,” katanya pada Sesi Penerangan Perdana Menteri bersama RTM dan Bernama di kediamannya, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir berkata, buat masa ini, empat parti komponen PH iaitu PKR; PPBM; Parti Amanah Malaysia (AMANAH) dan DAP akan menamakan tiga nama calon Menteri mewakili parti masing-masing dan kementerian pilihan mereka.

Katanya, Perdana Menteri akan membuat keputusan dan menggunakan kuasa veto jika berlaku pertindihan keperluan serta kehendak antara empat parti itu.

“Sudah tentu ada pertindihan keperluan atau kehendak masing-masing dalam parti. Keputusan akan ditentukan Perdana Menteri (PM).

“PM akan semak calon dinamakan oleh parti komponen dan akan buat keputusan siapa akan pegang kementerian mana. Kalau perlu, PM akan panggil ketua empat parti komponen untuk dapatkan maklumat pemilihan utama mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mempertimbangkan syor melantik calon parti di Sabah dan Sarawak menyertai barisan kabinet jika ada ruang kerjasama.

“Kerajaan dan PM akan buat keputusan berpandukan majoriti mudah yang dibuat dalam kabinet. Cara pentadbiran kita kerana ini kabinet baru yang tidak pernah ada melainkan ketika Tunku Abdul Rahman pada 1957.

“Tunku buat (tubuh) kabinet kecil tidak sampai 10 orang dan tiga daripadanya adalah pegawai British. Selepas itu, baru Tunku tambah kementerian sehingga menjadi lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, sebarang keputusan dalam parti akan ditentukan Majlis Kepemimpinan Tertinggi PH, yang dianggotai empat presiden parti komponen dan beliau sendiri sebagai penasihat.

“Semua keputusan dibuat oleh lima ahli majlis untuk mempercepatkan keputusan. Tiada keadaan di mana Presiden atau Pengerusi sahaja buat keputusan, tetapi semua keputusan dibuat lima ahli majlis mewakili parti masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 8:39 PM