KHAIRY mahu rehat daripada pegang sebarang jawatan dalam UMNO. -Foto AZHAR RAMLI
KHAIRY mahu rehat daripada pegang sebarang jawatan dalam UMNO. -Foto AZHAR RAMLI
Fahmy Azril Rosli


BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak mahu memegang sebarang jawatan dalam parti ketika ini kerana mahu berehat sebentar.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Rembau yang kecundang pada Pemilihan UMNO, minggu lalu tidak mendedahkan berapa lama tempoh beliau akan berehat.

Tetapi katanya, beliau akan menjalankan tugas sebagai ahli parlimen seperti biasa.

“Saya sebenarnya tidak mahu memegang sebarang jawatan dalam parti buat masa ini.

“Kita serah kepada ahli parlimen pembangkang (untuk putuskan) kerana jawatan itu mesti diputuskan oleh ahli parlimen pembangkang. Lagipun, ahli parlimen pembangkang belum lagi bermesyuarat.

“Tidak apa. Saya mahu ambil rehat pendek dan saya mahu pastikan saya boleh bersuara dengan bebas untuk memastikan parti ini boleh diperbaharui,” katanya pada sidang media selepas majlis serah tugas jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan pemberita berhubung desakan ahli UMNO yang mahu bekas Menteri Belia dan Sukan itu dilantik sebagai ketua pembangkang.

Mengulas lanjut keputusannya, Khairy berkata, beliau berasa terikat apabila memegang jawatan dalam parti.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kemenangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO baharu, beliau berkata dalam politik, semua pihak mesti menerima keputusan dan menyokong presiden yang dipilih secara demokratik.

Bagaimanapun, katanya, majoriti ahli UMNO masih dahagakan pembaharuan dalam parti keramat orang Melayu itu.

“Undi untuk saya dengan Tengku Razaleigh (Hamzah), kalau dicampur menunjukkan perwakilan mahukan perubahan. Ini adalah majoriti daripada perwakilan.

“Jadi, jangan kita ingat perwakilan UMNO tidak mahu bawa pembaharuan. Cuma mungkin kerana ada banyak pilihan, tidak dapat dibuat perubahan itu.

“Jadi, ini isyarat besar kepada presiden baharu kalau sekiranya beliau tidak dapat atau berjaya membawa perubahan itu, maka kehendak majoriti perwakilan itu akan hampa. Apa-apa pun, saya harap beliau boleh (memimpin),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 5:18 PM