LELAKI warga Slovenia yang ditemui hanyut di perairan Timur Sedili Kechil, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Ihsan APMM
LELAKI warga Slovenia yang ditemui hanyut di perairan Timur Sedili Kechil, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Ihsan APMM
Nurul Amanina Suhaini


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili menyelamatkan lelaki warga Slovenia yang hanyut di kedudukan tujuh batu nautika dari Timur Sedili Kechil, Kota Tinggi, hari ini.

Pemangku Ketua Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, mangsa yang juga penggemar aktiviti lasak berusia 50-an ditemui nelayan tempatan ketika terapung dan berpaut pada pelampung pukat pada 12 tengah hari.

Katanya, APMM dihubungi nelayan berkenaan untuk menyelamatkan mangsa kerana keadaan lelaki itu agak mencurigakan menyebabkannya bimbang untuk memberi bantuan.

“Siasatan awal mendapati mangsa belayar dari Changi, Singapura pada Jumaat lalu menuju ke Pulau Tioman.

“Mangsa menggunakan kaedah tidak masuk akal dan merbahaya untuk belayar iaitu menggunakan dua 'wind surfer' yang diikat bersama, tetapi menggunakan satu layar.

“Pada 10 malam tadi (semalam), mangsa kehilangan layar akibat keletihan dan hanyut menyebabkannya hanya berpaut di pelampung pukat sebelum diselamatkan keesokkannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ANGGOTA APMM membantu mangsa yang ditemui hanyut. FOTO Ihsan APMM
ANGGOTA APMM membantu mangsa yang ditemui hanyut. FOTO Ihsan APMM

Mohd Zulfadli berkata, sehingga kini, mangsa berada dalam keadaan baik tetapi keletihan.

Katanya, lelaki itu diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) mencari dan menyelamat (SAR) APMM.

“Justeru, penggemar sukan lasak dan rekreasi maritim diingatkan supaya membuat pertimbangan wajar sebelum menjalankan sebarang aktiviti dan mengutamakan keselamatan masing-masing.

“Sebarang kesilapan pertimbangan dan kecuaian, ditambah keadaan laut tidak menentu boleh menyebabkan malapetaka kepada diri sendiri dan orang lain,” katanya.

Katanya, APMM tidak akan mengambil mudah perkara itu dan tindakan undang-undang akan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 8:04 PM