KEHADIRAN siput kabung di Pantai Chenang tarik perhatian pelancong.
KEHADIRAN siput kabung di Pantai Chenang tarik perhatian pelancong.
Hamzah Osman


Langkawi: Fenomena cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini dipercayai menjadi antara sebab berlaku limpahan siput kabung yang terdampar di Pantai Chenang, di sini.

Difahamkan, kehadiran jumlah siput yang luar biasa itu boleh dilihat sejauh dua kilometer (km) sepanjang pantai tumpuan pelancong itu, malah keadaannya menjadi lebih menarik dilihat ketika air laut surut.

Penduduk, Amran Raman, 31, berkata, dia turut meninjau fenomena itu selepas mengetahui perkara itu menerusi Facebook.

“Memang banyak siput kabung terdampar di Pantai Chenang ketika ini dan fenomena itu berlaku selepas kejadian ribut dan ombak kuat sepanjang dua hari lalu.

“Ia bukan saja menarik perhatian penduduk tempatan, malah pelancong asing turut mengutip siput berkenaan,” katanya.

Amran yang menetap di Kampung Teluk, Mukim Ulu Melaka di sini, berkata, kakitangan syarikat pengurusan sisa pepejal E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) melakukan kerja pembersihan terhadap siput kabung itu.

“Walaupun kakitangan E-Idaman melakukan kerja pembersihan pada pagi, siput terbabit kembali terdampar dengan jumlah yang banyak pada sebelah petang.

“Siput yang membanjiri tepian Pantai Chenang di sini dipercayai akan dapat dikutip dalam beberapa hari lagi,” katanya.

Amran antara beberapa penduduk yang memuat naik gambar fenomena siput kabung terdampar di Pantai Chenang pada status Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 11:50 AM