ANGGOTA APM berusaha menyelamatkan kambing yang terjatuh ke dalam perigi di Kampung Bechah Tok Bulan, Dalam Wang, Baling, hari ini. FOTO ihsan APM.
ANGGOTA APM berusaha menyelamatkan kambing yang terjatuh ke dalam perigi di Kampung Bechah Tok Bulan, Dalam Wang, Baling, hari ini. FOTO ihsan APM.
Safuri Kamarudin


“SAYA berada di ruang dapur sebelum terdengar bunyi kambing mengembek berkali-kali, malah semakin kuat menyebabkan saya keluar mencarinya namun terkejut melihat kambing itu terjatuh ke dalam perigi,” kata Siti Aminatun Rusidah Mat Piah, 36, dari Kampung Bechah Tok Bulan, Dalam Wang, Baling.

Siti Aminatun berkata, kambing itu dipercayai terjatuh pagi hari ini, namun hanya mendengar bunyi kambing mengembek tengah hari ketika pulang dari tempat kerja.

“Saya percaya kambing milik jiran itu terjatuh awal pagi tadi kerana melihat keadaannya di dalam perigi itu.

“Saya cuba membantu tetapi tidak terdaya lalu menghubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) untuk menyelamat kambing berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mujurlah perigi lama itu sudah tiada air kerana jika tidak sudah tentu kambing itu mati lemas.

Sementara itu, Pegawai APM Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.25 petang dan sampai ke lokasi 10 minit kemudian.

Beliau berkata, empat anggota yang diketuai Lans Koperal Sukor Ahmad mengambil masa 30 minit untuk menyelamat kambing dengan menggunakan tali panjang dan mengikat badan kambing lalu menarik naik haiwan itu.

“Kambing itu yang kesejukan selamat dan tidak cedera sebelum diserah semula kepada tuannya.

“Kambing itu terjatuh dalam perigi sedalam dua meter namun selamat kerana mendapat bantuan awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 6:21 PM