MAHDI  (kiri) membuat pemeriksaan terhadap individu yang disyaki meminta derma tanpa kebenaran  di Bazar Ramadan Puchong Prima.
MAHDI (kiri) membuat pemeriksaan terhadap individu yang disyaki meminta derma tanpa kebenaran di Bazar Ramadan Puchong Prima.
HM Digital

Shah Alam: Sebelas lelaki ditahan selepas didapati terbabit dalam aktiviti mengutip derma tabung khairat tanpa kebenaran dalam Op Kutip yang dijalankan di sekitar negeri ini bermula awal Ramadan lalu sehingga semalam.

Mereka berusia 20 hingga 43 tahun, masing-masing lapan warga Thailand dan tiga warga tempatan.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), Mahdi Al-Hilmy Arshad berkata, siasatan awal mendapati enam daripada warga Thailand itu menjalankan aktiviti mengutip derma terutama di bazar Ramadan.

“Turut dirampas bersama mereka adalah wang tunai berjumlah RM1,600.

“Sindiket berkenaan dipercayai menghantar individu bagi mengutip derma melalui tabung yang diletakkan di bazar Ramadan,” katanya ketika ditemui di bangunan JAIS di sini, malam tadi.

Katanya. kebanyakan mereka menggunakan alasan kutipan derma bagi pembinaan surau, masjid dan madrasah seperti gambar yang tertera pada tabung mereka.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya atau bersimpati dengan pengutip derma sebegini, sebaliknya memaklumkan kepada pihak berkuasa jika melihat golongan ini berkeliaran mengutip derma,” katanya.

Menurutnya, semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 4:55 AM