NIK Omar Nik Aziz. FOTO Rosela Ismail
NIK Omar Nik Aziz. FOTO Rosela Ismail
Sharifah Mahsinah Abdullah


LEBIH tiga minggu berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun, calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka Nik Omar Nik Aziz, 53, masih menjadi tumpuan rakyat.

Anak Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu bukan dicari untuk berpolitik, sebaliknya memenuhi jemputan sebagai penceramah sempena Ramadan ini.

Beliau yang juga Pengetua Madrasah Darul Anuar mengembara ke beberapa negeri untuk menyampaikan kuliah sejak awal Ramadan lagi.

Nik Omar berkata, beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk menyampaikan kuliah agama di seluruh negara sejak menjadi pengetua maahad, beberapa tahun lalu.

“Saya mengambil kesempatan bulan yang mulia ini untuk meluaskan ceramah saya kepada orang lain dan sehingga kini, saya sudah menjelajah ke Perak, Melaka dan beberapa negeri berdekatan.

“Sudah menjadi hasrat saya untuk berkongsi ilmu sebanyak mungkin bagi mendapat keredaan Allah SWT dalam masa yang singkat, sepanjang Ramadan ini ,” katanya kepada NSTP, baru-baru ini.

Bapa lima anak itu berkata, beliau akan terus mendekati rakyat menerusi ceramahnya, biarpun kalah dalam pilihan raya lalu.

“Saya tidak kisah kalah dalam PRU-14, asalkan niat saya untuk berkhidmat kepada rakyat dan berkongsi ilmu agama dapat ditunaikan.

“Seperti apa yang saya maklumkan sebelum ini, apabila saya menyertai bidang ini (politik), saya tidak akan sekali-kali berundur,” katanya

Nik Omar mendapat perhatian ramai apabila membuat keputusan untuk bertanding atas tiket PKR dalam PRU-14, walaupun tidak mendapat restu ibunya.

Anak kedua Nik Abdul Aziz itu hanya memperoleh 2,418 undi, berbanding dua lagi calon Mohamed Fareez Noor Amran dari Barisan Nasional dan Ahmad Fathan Mahmood dari PAS yang berjaya mengekalkan kerusi disandang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 2:34 PM