KETUA Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media sempena majlis Berbuka puasa bersama barisan kepimpinan Pemuda UMNO seluruh negara di D’Saji, Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
KETUA Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media sempena majlis Berbuka puasa bersama barisan kepimpinan Pemuda UMNO seluruh negara di D’Saji, Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Mohd Iskandar Ibrahim


“SAYA berasakan tempat itu paling sesuai,” kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berikutan keputusannya untuk bertanding sebagai Naib Presiden pada pemilihan parti tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Rembau itu juga sudah mengisi borang pencalonan petang tadi sekali gus mengesahkan keputusannya memilih bertanding merebut satu daripada tiga jawatan terbabit.

“Petang tadi, saya sudah mengisi borang atas talian sebab hari ini adalah hari pertama pencalonan (pemilihan UMNO) dibuka.

“Ramai bertanya kenapa saya tidak memilih (bertanding) jawatan yang lebih tinggi, ia kerana saya merasakan tempat (jawatan Naib Presiden) itu paling sesuai,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Khairy dalam sesi temubual bersama South China Media Post (SCMP) pagi tadi mengesahkan beliau akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Sementara itu, Khairy menafikan dakwaan kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedang berbulan madu dan tidak berfungsi sebagai pembangkang.

“Kita bukan honeymoon, bagi kerajaan honeymoon dulu kerana kita sedang merangka strategi, ada pemulihan parti, kalau cakap banyak pun, orang kritik kita sekarang.

“Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad kata jangan terlalu cepat hukum kerajaan sebab baru tiga minggu. Kita bagi peluang dulu dan pada masa sesuai kita akan kembali sebagai pembangkang berwibawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 9:57 PM