WARGA emas Zalilah Mat Derus bersyukur rumahnya di Kampung Tanjung Agas dibaiki pada program gotong-royong membaiki rumah asnaf. FOTO Mohd Rafi Mamat
WARGA emas Zalilah Mat Derus bersyukur rumahnya di Kampung Tanjung Agas dibaiki pada program gotong-royong membaiki rumah asnaf. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


“SAYA tidak mampu membaiki rumah itu kerana memerlukan perbelanjaan besar, lebih membebankan apabila menantu lelaki saya mengidap penyakit saraf serius dan tidak mampu bekerja," kata warga emas, Zalilah Mat Derus, 68, yang dipilih Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama askar wataniah daripada Kem Force 136 Rejimen 505 Sungai Miang untuk membaiki kediamannya di Kampung Tanjung Agas, Pekan.

Zalilah berkata, dia bersyukur ada pihak yang prihatin memperbaiki rumahnya.

“Rumah itu menjadi tempat saya dan anak serta keluarganya berteduh. Ia sudah tidak selamat didiami.

"Saya tidak mampu untuk membaiki rumah itu, jadi terima kasih atas segala bantuan," katanya ketika ditemui pada program gotong royong membaiki rumahnya oleh MUIP, askar wataniah dan penduduk kampung di sini, hari ini.

Seramai 20 anggota askar wataniah bergotong royong bersama penduduk kampung menukar atap, kayu bahagian bumbung dan membaiki kerosakan dapur rumah milik Zalilah.

Kerjasama antara MUIP dengan askar wataniah daripada Kem Force 136 Rejimen 505 itu dilaksanakan susulan titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu anggota di kem itu melakukan aktiviti jihad bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam MUIP cawangan Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, menerusi program itu, pihaknya akan mengenal pasti asnaf layak menerima bantuan membaiki rumah.

"MUIP akan memeriksa kediaman itu sebelum memutuskan jumlah dan peralatan diperlukan, manakala askar wataniah pula menggunakan kemahirannya dalam memperbaiki rumah.

"Kerjasama seperti ini dapat melancarkan dan mempercepatkan kerja-kerja membaiki rumah kerana ia turut mendapat bantuan penduduk kampung," katanya.

Katanya, selain aktiviti membaiki rumah asnaf kerjasama turut membabitkan program lain seperti memberi bantuan keperluan harian, dakwah dan ziarah di penempatan Orang Asli di daerah ini.

"Diharapkan kerjasama ini dapat membantu lebih ramai golongan asnaf yang memerlukan bantuan dalam pelbagai aspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 11:21 AM