MOHAMED Azmin Ali menerima watikah pelantikan Menteri Besar Selangor pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Perlantikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor, 11 Mei lalu. FOTO Muhammad Sulaiman
MOHAMED Azmin Ali menerima watikah pelantikan Menteri Besar Selangor pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Perlantikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor, 11 Mei lalu. FOTO Muhammad Sulaiman
Khairul Azran Hussin


RAKYAT Selangor sekali lagi tertanya-tanya siapa bakal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik Menteri Persekutuan.

Muncul pelbagai nama yang berlegar di laman sosial serta aplikasi WhatsApp antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Izham Hashim dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungip, kedua-duanya dari Parti Amanah Negara (AMANAH) yang disifatkan mempunyai kebolehan memimpin negeri itu.

Izham juga antara 10 barisan EXCO yang dilantik dengan memegang portfolio Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

Namun, bagi PKR, kerusi Menteri Besar Selangor adalah kuota yang diperuntukkan kepada parti itu yang masuk penggal ketiga.

Difahamkan, Mohamed Azmin berkemungkinan mencadangkan ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari dan ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin sebagai calon Menteri Besar Selangor baharu.

Amiruddin ketika ini memegang portfolio EXCO Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi manakala Dr Shaharuddin ialah EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain itu, ada juga ura-ura mengaitkan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Mat Shuhaimi Shafiei bagi mengisi kekosongan berkenaan namun ADUN Sungai Kandis itu masih mempunyai kes mahkamah berhubung pertuduhan menyiarkan bahan berunsur hasutan.

Jika Amirudin atau Dr Shaharuddin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, kekosongan kerusi EXCO perlu diisi seorang wakil rakyat PKR berdasarkan komposisi 4:3:2:1.

Antara wakil rakyat PKR yang mungkin mengisi kekosongan itu ialah ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi; ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dan ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Sementara itu, menurut sumber, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PH Selangor akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin DAP, AMANAH dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi memilih calon Menteri Besar yang baharu dalam tempoh terdekat, sebelum menghadap Sultan Selangor meminta perkenan baginda.

“PH terbuka kepada semua pandangan. Kekuatan PH berpaksikan perdebatan serta perselisihan pendapat yang dapat ditangani secara matang yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Selain memegang jawatan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin turut memegang jawatan EXCO Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor dan Komunikasi Strategik.

Berita berkaitan:

Terima kasih Tuanku - Azmin

Azmin kekal MB Selangor sementara waktu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 7:11 PM