LIMA wanita dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) yang terdiri daripada tiga wanita warga Vietnam dan dua warga Thailand berusia 18 hingga 24 tahun ditahan polis di sebuah pusat karaoke di Jalan Keranji, Taman Mutiara. FOTO Ihsan Polis
LIMA wanita dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) yang terdiri daripada tiga wanita warga Vietnam dan dua warga Thailand berusia 18 hingga 24 tahun ditahan polis di sebuah pusat karaoke di Jalan Keranji, Taman Mutiara. FOTO Ihsan Polis
Hadzlihady Hassan


AKSI manja dan menggoda lima wanita warga asing menghiburkan pelanggan di sebuah pusat karaoke di Taman Mutiara, Bukit Mertajam terbantut apabila premis terbabit diserbu, malam semalam.

Dalam serbuan pada 11.30 malam, tiga wanita warga Vietnam dan dua warga Thailand berusia 18 hingga 24 tahun itu ditahan kerana didapati menyalahguna pas lawatan sosial.

Difahamkan, lima wanita terbabit bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di premis berkenaan untuk menemani lelaki hidung belang yang mahukan layanan ketika berhibur.

Mereka dikatakan mengenakan caj hingga mencecah RM200 untuk menemani pengunjung di pusat hiburan terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuan itu polis turut menahan lelaki, 24, yang bekerja sebagai penjaga premis terbabit.

“Serbuan dilakukan hasil daripada risikan dan juga maklumat daripada orang awam yang mencurigai kegiatan dilakukan di premis itu.

“Lelaki tempatan itu ditahan kerana menggaji serta melindungi pekerja warga asing tanpa permit yang sah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan 39b Peraturan Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 4:59 PM