SEKITAR persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 di Kangar. FOTO Azhar Ramli
SEKITAR persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 di Kangar. FOTO Azhar Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


PERLIS yang dikuasai Barisan Nasional (BN) tidak akan dipinggirkan Kerajaan Persekutuan yang kini menjadi milik Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, walaupun berlaku perbezaan idealogi, Perlis tidak akan disisihkan jika politik matang diamalkan antara kedua-dua belah pihak.

“Jika politik matang diamalkan tidak ada masalah, saya yakin PH akan menyalurkan bantuan dan hak yang sepatutnya kepada Perlis.

“Namun, individu yang dilantik menjadi Menteri Besar selepas ini perlu bijak dalam menjalin hubungan dan tidak boleh besar kepala demi kebaikan Perlis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Rusdi berkata, hubungan baik Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail juga antara faktor kuat Perlis tidak akan dianaktirikan PH.

“Tun Dr Mahathir mempunyai hubungan yang cukup baik dengan Istana Arau, beliau kerap dilihat hadir ke majlis rasmi, pastinya beliau tidak akan membiarkan Perlis diabaikan begitu sahaja.

“Malah, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim juga antara individu yang rapat dengan beliau jadi tiada masalah antara kerjasama Kerajaan Negeri dan Pusat.

“Kita perlu tahu, Shahidan antara pemimpin UMNO yang masih hormat kepada Tun (Mahathir). Beliau juga tidak pernah mengkritik serta menghentam Tun,” katanya.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), menyaksikan BN Perlis masih menguasai negeri ini dengan menang 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi DUN.

Baki lima lagi kerusi dimenangi oleh PKR dan PAS iaitu iaitu tiga kerusi untuk PKR di DUN Kuala Perlis, Indera Kayangan dan Sena.

Manakala dua lagi kerusi dimenangi PAS iaitu di DUN Sanglang dan Guar Sanji.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 11:45 AM