ANGGOTA bomba mengusung mangsa yang dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus deras, ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat dia dikatakan hilang, di kelong berhampiran Jeti Sempang, Merlimau. FOTO/IHSAN BOMBA
ANGGOTA bomba mengusung mangsa yang dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus deras, ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat dia dikatakan hilang, di kelong berhampiran Jeti Sempang, Merlimau. FOTO/IHSAN BOMBA
Nur Saliawati Salberi

SELEPAS lebih 15 jam dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus deras, mayat seorang pemancing ditemui pada jarak kira-kira satu kilometer dari kelong di Jeti Sempang, Merlimau, Jasin, hari ini.

Mayat mangsa, Muhammad Rashid Mokhtar, 45, ditemui terapung berhampiran kawasan paya bakau oleh nelayan pada 11.30 pagi hari ini, sebelum dimaklumkan kepada bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Suboh Manap, berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.37 petang semalam sebelum sepasukan 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa dikatakan lemas ketika terjun ke laut untuk menyelamatkan bot yang dihanyutkan arus.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan semalam dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Bagaimanapun, operasi dihentikan pada 8 malam kerana faktor cuaca dan disambung semula 8 pagi hari ini,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian 4.45 petang semalam, mangsa cuba menyelamatkan bot dinaiki bersama rakannya yang dihanyutkan, sebelum hilang dibawa arus deras.

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya yang berusia 20-an dikatakan memancing di dalam bot dan tiba-tiba seorang daripada mereka mengadu pening kerana mabuk laut sebelum kedua-duanya naik berehat di atas kelong berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 11:01 PM