MOHAMED Khaled ketika mengundi di SK Taman Rinting 1, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHAMED Khaled ketika mengundi di SK Taman Rinting 1, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Fahmi Mohd Yusof


BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua atas mandat yang diberikan selama lima tahun.

Beliau akur dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan sebagai ahli politik, beliau bersedia dengan sebarang keadaan.

“Apa pun kita terima. Sebagai orang politik, saya pun sentiasa bersedia untuk apa juga keadaan sebab perjuangan ini adalah sebagai satu sumbangan khidmat kepada masyarakat.

“Saya akan adakan sidang media, pagi ini (Khamis) untuk maklumkan Barisan Nasional (BN) tidak berjaya di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang, awal pagi ini.

Mohamed Khaled berkata, semua yang berlaku mempunyai hikmah dan beliau mendoakan kesejahteraan semua rakyat di negeri itu.

“Jadi, kita kena terima, negara ini negara demokrasi. Saya percaya semuanya tentu ada hikmah dan kita akan terus bersama dan doakan tuan-tuan dan puan-puan semua terus selamat dalam lindungan Allah.

“Sebagai mantan Menteri Besar, saya mengucapkan banyak terima kasih kepada semua. Lima tahun adalah satu jangka masa yang sangat sarat, kita tak pernah berhenti untuk bangun dan majukan Johor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 2:54 AM