M SARAVANAN ketika sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
M SARAVANAN ketika sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam tempoh sebulan dua lagi.

Berikutan itu, beliau berharap apabila tiba masanya nanti rakyat terutamanya kakitangan kerajaan dapat membuat pilihan sebaiknya demi mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2030.

"Mungkin tak lama lagi, boleh jadi sebulan dua. Apabila sampai masa nanti, buatlah pilihan B iaitu bijaksana. Maka apabila sampai masanya nanti, saya minta tuan-tuan dan puan-puan sebagai penjawat awam buatlah yang terbaik demi kestabilan politik untuk pastikan negara kita terus maju," katanya di hadapan 441 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Sumber Manusia (KSM), di sini, tadi.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua ahli Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpin tidak menyerang antara satu sama lain sehingga merugikan parti kerana PRU kini menghampiri.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, sejarah sudah membuktikan apabila rakyat buat pilihan yang tidak betul, mereka akan menjadi mangsa.

"Maka sampai masa nanti saya harap dan merayu kepada tuan-tuan tinggalkan lah idealogi politik individu dan fikirlah yang terbaik apakah kelebihan, yang terbaik itu akan memberikan kestabilan politik yang berterusan untuk anak-anak.

"Sebelum ini orang kata hanya satu sahaja parti yang memerintah negara ini sehingga 60 tahun, tetapi kini sudah bagi peluang kepada semua parti (untuk memerintah). Jadi rakyat boleh menilai siapakah yang ada DNA berjiwa rakyat," katanya.

Ditanya sama ada MIC akan kekal bertanding dengan jumlah kerusi yang sama, Saravanan berkata, pihaknya mahu bertanding dengan jumlah kerusi seperti sebelum ini namun masih terbuka untuk sebarang perbincangan dengan parti komponen demi kepentingan BN.

"Sebelum ini kita bertanding sembilan kerusi Parlimen dengan 18 lagi DUN (Dewan Undangan Negeri), kita akan kekal dengan jumlah itu tetapi masih sedia berbincang dengan pucuk pimpinan BN begitu juga sekiranya ada pertukaran kerusi. Itu kita akan biarkan parti yang putuskan, ini semua di peringkat BN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 2:42 PM